Photobucket

~Ya Allah, bahagiakan kami dunia akhirat bersama selamanya~

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
Saturday, June 27, 2009

,,,>Fathi Yakan Tetap Di Kenang<,,,


Dr Fathi Yakan arkitek dakwah, gerakan Islam lebih setengah abad

Oleh Mohamad Sofee Razak

DUNIA dakwah dan gerakan Islam dikejutkan dengan berita kematian Syeikh Dr Fathi Yakan, 76, pada 13 Jun lalu. Beliau cukup dikenali di seluruh dunia meninggalkan legasi dakwah hebat sehingga idea, gagasan dan pemikirannya melahirkan generasi unik Muslim yang mengagumkan.

Sepanjang hayatnya, Dr Fathi Yakan mewakafkan serta menginfakkan seluruh hidup serta pemikirannya beliau kepada aktiviti dakwah dan gerakan Islam tanpa pernah kenal erti jemu dan putus asa selama 50 tahun.

Beliau memberikan sumbangan bakti dan warisan penulisan intelektual yang tidak ternilai terutama kepada gerakan Islam di seluruh dunia. Karya agung beliau ialah Apa Ertinya Aku Menganut Islam di samping Bahtera Penyelamat Umat Dalam Kehidupan Pendakwah.

Bukunya yang melebihi 35 tajuk sehingga kini masih menjadi rujukan utama di kalangan aktivis gerakan Islam dan universiti di seluruh dunia.


Dalam buku Apa Ertinya Aku Menganut Islam, beliau menegaskan bahawa ramai yang menjadi Muslim kerana hobi atau dilahirkan oleh kedua orang ibu bapanya yang memang beragama Islam. Mereka ini pada hakikatnya tidak memahami makna menggabungkan diri dengan Islam.

Mereka juga tidak mengerti tuntutan penggabungan lantaran itulah mereka dilihat berada di satu pihak manakala Islam pula berada di pihak lain.

Katanya lagi, dalam beberapa waktu yang genting ini umat Islam sudah melalui pengalaman yang begitu pahit di mana banyak sistem (peraturan) hidup dan prinsip pegangan mereka gugu

r lenyap. Banyak gerakan dan ramai pula pemimpin turut gugur tercicir apabila berdepan cabaran masa kini kerana gerakan dan pimpinan berkenaan tidak mempunyai asas persediaan yang membolehkan mereka terus kekal dan berterusan.

Disiplin ilmu dan paradigma penulisan Dr Fathi Yakan diangkat sebagai wadah utama yang terus menerus mempelopori fikrah gerakan Islam di dunia Arab dan negara Islam lain di seluruh pelosok dunia.

Wawasan dan perspektif penulisan dakwah yang dihidangkan kepada pembaca serta pendakwah sarat dengan motivasi, strategi, teknik, kreativiti dan lain-lain taktik yang begitu kritikal serta praktikal sepanjang zaman.


Karya beliau melalui mekanisme berbentuk risalah dan tulisan membentuk acuan pemikiran, ideologi dakwah dan jentera gerakan Islam di seluruh dunia. Bahan penulisan, kritikan dan pengalaman beliau dalam dunia dakwah dijadikan panduan kepada generasi kebangkitan Islam merealisasikan misi dan visi ke arah menjadikan Islam sebagai cara hidup.

Arkitek dakwah dan gerakan Islam ini dilahirkan di Tarablas pada 1933 dan mendapat ijazah kedoktoran (PhD) dalam pengajian Islam dan bahasa Arab dari sebuah universiti terkemuka walaupun pada peringkat ijazah (BA) dan sarjana (MA) beliau belajar bidang kejuruteraan.

Sejarah mencatatkan Dr Fathi Yakan begitu komited dan serius dengan kerja Islam sejak tahun 1950-an lagi dan menubuhkan Jamaah Islam pada awal tahun 1960-an di Lubnan.

Beliau diamanahkan sebagai ketua umum dalam pergerakan berkenaan sehinggalah pada 1992 di mana beliau bertanding dan memenangi kerusi Parlimen di Lubnan sehingga 1996. Selepas bersara dari dunia politik, beliau diberi kepercayaan mengetuai Jabhah al-Amal al-Islami dan berperanan penting menghentikan peperangan Mukhayyam Narul Barid di utara Lubnan antara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pada 2007.

Itu adalah antara usaha dan perjuangan terakhir beliau menyatukan dan menghindari perselisihan di kalangan rakyat Lubnan, terutama antara kekuatan serta perselisihan golongan majoriti dan minoriti di sana yang turut mendapat perhatian dunia Islam di peringkat antarabangsa.

Ini membuktikan kewibawaan dan keterampilan beliau secara semula jadi bukanlah hanya ke medan dakwah, malah mencakupi segala aspek kehidupan.

Dalam konteks lebih luas, Dr Fathi Yakan bukan saja dianggap sebagai tokoh ulama dan pemikir Islam terkemuka, malah juga Ahli Parlimen yang disegani di Lubnan dan antara pemimpin gerakan Islam antarabangsa yang berpengaruh sebaris dengan reformis Islam Hassan al-Banna, Syed Qutb, Mustafa Mashyur, Hassan Ali an-Nadawi dan beberapa tokoh mujahid mutakhir yang lain.

Sesungguhnya pemergian beliau bukan sekadar kehilangan dan kerugian besar bagi warga Arab di Asia Barat, bahkan kepada seluruh umat Islam khususnya di kalangan aktivis dakwah dan gerakan Islam seluruh dunia yang mendapat tunjuk ajar daripada beliau sebagai 'guru dakwah moden dan kontemporari' secara langsung dan tidak langsung sejak sekian lama.



0 comments:

:a   :b   :c   :d   :e   :f   :g   :h   :i   :j   :k   :l   :m   :n   :o   :p   :q   :r   :s   :t

Post a Comment

,,^Sharing Is Caring^,,